Ahad, Ogos 09, 2009


IMPIAN


Andainya waktu terpaksa
Dan memaksaku berlalu
Pergi meninggalkan rentetan
Kenangan yang sering bertandang
Meninggalkan seribu duka
Yang sering menghantui
Lalu,
Meninggalkan harapan
Bak permata yang berkilau
Namun tak tergenggam
Mampukah aku
Dan sanggupkah aku
Merelakan serpihan hidup ini
Terus pudar dan hilang
Tanpa mencapainya
Walau hanya sekelumit
Yang tersisa sekecil kuman.

Andainya waktu terpaksa
Dan memaksaku mengundurkan diri
Dari tujuan hidup dan cita-cita
Dan membiarkan masa berlalu
Tanpa mengisi kekosongan yang ada
Dapatkah aku terus begini
Andainya masa yang sesingkat
Pun masih tak tersangka
Berdayakah aku lagi
Berjalan dengan kudrat
Tanpa hasrat dan niat
Untuk digapai.

Tuhanku,
Berdayakah aku
Andainya hidupku kecundang lagi
Berdayakah aku
Kiranya hujan tidak berhenti
Dan aku menggigil kebasahan
Dalam mencari diri
Yang tak pernah kering
dengan setiap impian.

Tuhanku,
Izinkanlah diriku
Menelan warna-warna kejayaan
Yang kukira jauhnya tak terhitung
Dan benarkanlah aku kecapi
Bahagia yang kunanti
Yang berdekad lamanya kutunggu
Dan aku sudah tak berdaya lagi
Dengan setiap penantian
Yang tidak pernah berakhir.

Impianku
Satu nikmat indah
Untukku mengenal diri
Dan jalan hidupku
Menuju jalan-Mu abadi.



Taman Pandan Jaya.
05Hb. September, 2006
CERPEN


TETAMU AIDIL FITRI
Oleh Melati Biru

Gema Takbir di malam hari berkumandang disetiap rumah-rumah Allah. Bahkan di TV, Radio dan di mana jua ia turut didengari. Keriuhan anak-anak kecil bermain bunga api jelas kelihatan. Tergambar kegembiraan yang menyerlah di wajah-wajah mereka. Tangisan sicomel yang belum mengerti apa-apa juga mengiringi syahdunya malam itu. Ibu-ibu sibuk di dapur memasak rendang atau makanan tradisi yang tidak pernah dilupakan setiapkali menjelang hari Raya. Begitu juga dengan kaum lelaki, mengaul wajid dan ada yang sedang leka bermain mariam buloh. Aisyah yang sedari tadi duduk di anjung rumah tersenyum tersengih menonton gelagat-gelagat yang mencuit hatinya. Entah kenapa tiba-tiba wajahnya berubah gelisah.

“Aisyah, selama ini mak bagi kau kebebasan. Segala kehendak Aisyah mak tunaikan. Tapi kenapa kau buat mak dan bapa mendapat aib dengan kelakuan keji kau hah!” Luah emaknya kesal. Tangisannya juga turut berirama sentimental.

“Bapa beri kau pelajaran, pendidikan agama! Dan bapa tidak mengharapkan balasan satu senpun dari kau Aisyah. Cuma mengharap yang anak-anak bapa berjaya dalam hidup. Tapi semuanya hampa. Kau tambahkan beban pada keluarga! Bapa malu,… malu Aisyah!” Sambil merenung tajam tepat ke wajah Aisyah.

“Aisyah ucapkan terima kasih pada mak dan bapa kerana melahirkan dan membesarkan Aisyah. Aisyah hormat pada mak, Aisyah hormat pada bapa juga adik-beradik Aisyah. Tapi Aisyah benci pada pendirian bapa. Sikap bapa yang tak ambil kisah dengan masalah keluarga ini. Bapa sibuk dengan urusan politik, hingga bapa lupa di mana persinggahan bapa.”

“Oh,… sudah pandai melawan! Sudah pandai kurang ajar pada orang tua!” Tamparan bapanya turut berlabuh di pipi mulus Aisyah. Aisyah terus menangis. Air matanya mengalir bagai hujan deras yang tidak mahu berhenti.

“Aisyah,…Aisyah!” Laung Mak Sofi mendatang ke arah Aisyah.

“Ya mak cik!” sambil mengesat air matanya.

“Eh kenapa ni?” Soal Mak Sofi kehairanan.

“Tak adalah mak cik. Aisyah syok tengok budak-budak tu bermain bunga api.” Selindung Aisyah.

“Aisyah, Mak cik tahu yang Aisah kenangkan kampung. Mak cik tak halang
kalau Aisyah nak balik ke Sabah.” Suara Mak Sofi bergetaran. Matanya mulai menakung air jernih menahan kesedihan. “Tapi kalau Aisyah balik, jangan lupa kirim surat pada mak cik.”

Hati Aisyah ditambat sayu. “Sudahlah Mak cik. Aisyah sayangkan mak cik. Di sini Aisyah aman, damai, tenang dan tenteram. Siapalah Aisyah di rantau ini, kalau bukan mak cik yang menjaga Aisyah, menyayangi Aisyah,” jelas Aisyah.

“Mak cik dah tak ada sesiapa di dunia ini, selain diri Aisyah. Mak cik betul-betul sayangkan Aisyah dan mak cik dah anggap Aisyah, macam anak mak cik sendiri.”

“Mak cik lihat di sana tu,” sambil menundingkan ibu jari tangan kanannya ke arah pelita minyak tanah menerngi jalan-jalan yang menuju ke setiap rumah.

“Mak cik seperti pelita tu. Membakar diri demi kebahagiaan orang lain. Mak cik terangkan hati Aisyah yang pernah diselubungi kegelapan dan mak cik sanggup menerima Aisyah bekas seorang banduan. Mak cik saja yang tak pernah memandang hina pada Aisyah. Aisyah bertuah dapat bertemu mak cik.” Aisyah terus memeluk tubuh Mak Sofi. Dibenamkan wajahnya ke dada wanita yang berumur dalam lingkungan empat puluhan itu. Tangisannya dan Mak Sofi mengiringi kehangatan malam yang hening.

Kala malamterus berinsut pergi. Gema Takbir dari surau yang tidak jauh dari rumah Mak Sofi terus berkumandang. Iramanya terus menyusuk pilu. Hati siapa yang tidak dibendung luluh mendengar gema Takbir, seakan wajah-wajah kampung terus terbayang di ruang mata. Ketika Aisyah menyiapkan diri, selepas menunaikan solat Subuh, Aisyah terkenangkan ibubapa dan adik-beradiknya di kampung.

“Mak, bapa maafkan Aisyah. Maafkan kesalahan Aisyah!” Tiba-tiba Mak Sofi memaut bahunya. Aisyah tersentak.

“Aisyah, kalau Aisyah dah siap nanti…, bolehlah kita ke surau bersama-sama menunnaikan sembahyang sunat Hari Raya Aidil Fitri, Mak cik tunggu di bawah.” Aisyah mengangguk lemah. Mak Sofi terus berlalu.

“Aisyah, mak cik mengerti apa yang Aisyah rasakan ketika ini. Sama seperti apa yang pernah mak cik lalui.” Luah hati kecil Mak Sofi.

Masa lalu Mak sofi terlalu pahit untuk dikenang. Mak sofi pernah kehilangan Anuar, Amira dan Anida yang dibawa pergi oleh bekas suaminya Jamaludin. Entah ke mana agaknya, Mak sofi sendiri tidak tahu. Hanya mampu Mak Sofi lakukan ialah bertawakal pada Tuhan. Semoga Tuhan menemukan dirinya dengan ketiga-tiga anaknya. Tohmahan isteri curang sudah lenyap ditelan masa yang pergi dan silih berganti. Segalanya fitnah dan segalanya juga suratan Ilahi. Mak Sofi tidak dapat menolak kehendak-Nya. Akhirnya Mak Sofi serahkan pada yang Esa.

Gurau senda, gelak ketawa dan ejekan adik bongsu Aisyah membongkar rindunya yang membuak.

“Kakak Syah…balik cepat-cepat ya. Ita tungg! Kalau kakak Syah balik, jangan lupa belikan Ita patung doreamon. Ya kakak Syah!” Pinta Norita yang petah berbicara dalam usia 3 ½ tahun dan belum mengerti apa-apa.

Aisyah hanya mampu tersenyum haru dan mengangguk-anggukkan kepala. Kedua belah tangannya sudahpun disarungkan gari oleh salah seorang anggota polis wanita. Bapanya membuangkan muka, sedang emaknya tersedu-sedu.

“Inilah akibatnya. Aku telah membunuh anak yang tidak berdosa dari kandunganku.” Penyesalan yang melimpah-limpah membebat di hati Aisyah.

Tiga tahun bukan masa yang singkat Aisyah menjalani hidup di dalam sebuah penjara. Pahit, manis…, terlalu perit untuk dimamah. Diseksa, terseksa itulah satu pengajaran yang dilaluinya. Masa lalu terselit kenangan. Masa lalu membuahkan pengalaman. Dan masa lalu itulah juga pengajaran untuk Aisyah.

Tapi itu bukan dosa yang disengajakan oleh Aisyah. Dosa itu ialah dosa seorang lelaki yang tidak bertanggungjawab, yang telah menodai Aisyah tanpa rela. Namun silapnya Aisyah, membuang bayi yang dilahirkannya tanpa berfikir panjang. Sehingga kes buang bayi tersiar di kata t.v. Lama dirinya dibelenggu dengan berita-berita menyiarkan kes buang bayi.

“Patutkah aku menyerahkan diri dengan pihak berkuasa?” Tanya Aisyah di dalam hati. Akhirnya Aisyah mengambil keputusan menulis surat dengan menyatakan bidata dirinya serta alamat penuhnya kepada Ibu Pejabat Polis Johor Bahru. Keputusan itu adalah keputusan muktamat. Aisyah tidak kesal dengan tindakannya itu.

Mak Sofi orang yang banyak menabur budi dan memberi kepada Aisyah sesuatu yang baru dalam hidupnya. Pertemuan dengan Mak Sofi juga adalah pertemuan yang tanpa dirancang olehnya. Waktu itu Aisyah penat berjalan. Sempat dia tertidur kerana keletihan. Mak Sofi-lah orang yang bertanggungjawab menegur tingkah Aisyah dan berani menasihati Aisyah tika itu.

“Anak…, anak!” Mak Sofi menggoyangkan bahu Aisyah. Aisyah tersedar dan menggosok-gosokkan mata.

“YaMak cik, ada apa?” Soal Aisyah ingin tahu.

“Kenapa anak tidur di sini? Bawa beg ni nak ke mana? Eh!…Tak baik anak gadis buat macam ni.” Tingkah Mak Sofi hairan. “Lari ke budak ni?” Fkir Mak Sofi.

“Mak cik, bas yang hendak ke Kuala Lumpur…, biasanya bertolak jam berapa?” Soal Aisyah tanpa menjawab soalan dari Mak Sofi.

“Kalau anak nak ke Kuala Lumpur, malam-malam macam ni…bas tak ada. Emmm dari mana hendak ke mana?” Sambil duduk di tepi Aisyah.

Suasana perhentian bas amat lengang. Namun masih ada segelintir manusia berduyun-duyun mengatur langkah. “Hah!” Keluh Mak Sofi.

Aisyah terus membisu. Lidahnya keluh menjawab petanyaan demi pertanyaan yang diajukan kepadanya.

“Anak ni ada masalah ke?” ditenungnya dari atas hingga ke kaki. Tumpuan matanya ke arah sepasanag selipar Jepun yang sudah hampir luti, berwarna biru tua.

Perasaan kasihan tiba-tiba tumbuh di hatinya. Mak Sofi tersenyum. “Esok saja cari bas ke KL tu. Hah…kalau nak tumpang rumah mak cik semalam, jum…lah!” Ajak Mak Sofi iklas.

Beberapa detik Aisyah memikirkan pelawaan Mak Sofi. “Bagus juga!” Detik hatinya. “Baiklah Mak cik, saya tumpang semalam rumah Mak cik. Tapi, saya hairan dengan kebaikan yang Mak cik hulurkan, sedangkan…Mak cik tidak mengenali saya.”

“Mak cik tahu anak ni baik!” Puji Mak sofi pada Aisyah.

“Mana Mak cik tahu yang saya ni baik?” Soal Aisyah semula.

“Bukankah Tuhan telah mencipta manusia sebaik-baik serta semulia-mulia di sisi-Nya! Untuk apa kita curiga-mencurigai.”

“Tapi Mak cik saya orang jahat, bekas banduan!” Luah Aisyah merendah diri.

“Kenapa harus merendah diri. Kan lebih baik tawaduk pada Tuhan. Itu lagi afdal.” Hujah Mak Sofi menyakinkan lagi hati Aisyah yang diburu kegelisahan.

Kasih sayang, budi yang ditabur dan pengorbanan dari Mak Sofi, tidak akan pupus di ingatannya. Malah sentiasa subur dan mekar di hatinya.

“Tuhan, aku tak layak masuk syurga-Mu. Namun tidak berupaya mengahadapi api neraka-Mu. Terimalah taubatku dan ampunkanlah dosa-dosaku, sesungguhnya Engkau maha pengampun, dosa hamba-Mu.” Doa Aisyah pasrah.

Diaturnya langkah dengan gemilang. Senyumannya juga turut terlukis. Wajah ceria di pagi yang mulia itu mampu menyerlah. Sesampainya saja ke sisi Mak sofi, Aisyah menyambar tangan Mak Sofi lalu mengucupnya.

“Mak cik, halalkan makan minum Aisyah dan tinggal di sini. Mak cik lah tempat Aisyah mengadu dan meluahkan segal perasaan yang terbuku. Mak cik mengajar Aisyah erti tabah dan sabar menempuhi dugaan hidup ini.”

“Sudahlah Syah! Mak cik faham.” Pelukan erat singgah di tubuh Aisyah. “Jum kita ke surau!” Ajak Mak sofi. Aisyah akur.

“Lama amat Aisyah merindui keadaan sebegini. Baru sekarang cahaya sadik dapat dilihat dan menyuluhi jalannya. Inilah hukum karma.

Begitu cepat masa berlalu. Sedar tidak sedar Aisyah sudah dua musim merayakan Aidil Fitri di kampung Jawa, Segamat Johor (Kediaman Mak sofi). Namun sejentik atau setitik khabar dari kampung tidak pernah menyusul. Surat yang dikirmkan, langsung tidak berbalas. Apakah sebabnya?

“Mungkinkah…!” Fikir Aisyah mengeluh.

Ketika Aisyah sedang asyik membersihkan pinggan mangkuk di ceruk dapur, Mak Sofi datang dengan senyum yang penuh makna. Aisyah selamba saja.

“Aisyah, kenapa sibuk-sibuk mencuci pinggan mangkuk tu, kan masih ada yang bersih kat almari tu!”

“Tak apalah mak cik, bukan berat sangat buat kerja ni. Lagipun tak ada yang nak dikerjakan.”

“Hah…, sudahlah Syah, nanti boleh sambung kerja tu. Ni…ambil dulang minuman ni, bawa ke ruang tamu…hah, di luar ada tamu istimewa menunggu nak jumpa Aisyah.” Sambil menghulurkan sedulang minuman.

“Tamu istimewa! Eh, siapa pula Mak cik?” Sambil mengelap tangannya, lalu menyambut dulang minuman yang dihulurkan kepadanya. “Mak cik ni bergurau ke?” Soal Aisyah tersengih.

“Hah, kalau Aisyah nak tahu juga, Hantar dulang tu!” Arah Mak Sofi. Aisyah menurut.

Sengaja langkah kakinya dilambat-lambatkan. Di fikirannya bergelombang dengan pelbagai persoalan.

“Mungkin anak Mak Eton…, si Lina!” Fikirnya bercelaru.

Kini, destinasi yang di tuju sudahpun sampai. Matanya tidak tertumpu diantara tetamu-tetamu itu. Aisyah bermain dengan khayalan.

“Kak Syah!” Sekujur tubuh kecil merapatinya, lalu memeluknya.

“Aisyah kau sihat nak…?” Gema suara merdu itu, amat dikenali Aisyah. Dengan tak sedar dulang minuman yang dipegangnya terjatuh tiba-tiba. Air matanya turut mengalir, yang menyatakan…, kegembiraan yang tidak terkira.

Khamis, Ogos 06, 2009

BENGKEL KEPEZI (3) 2009 DI DEWAN KULIAH TINGKAT 4, DBP











Inilah sebahagian gambar yang sempat dirakamkan sebagai kenang-kenangan. Bukan setakat gambar yang dapat diambil dan disimpan, malah ilmu yang mampu dibawa pulang sebagai bekalan dan jati diri untuk dijadikan azimat sebagai bekalan terjun di dunia penulisan. Saudara Zaharah Nawawi dan Dr. Mawar Shafie dari UKM selaku guru dalam bengkel tersebut juga menentukan perjalan bengkel berjalan lancar. Penceramah khas yang didatangkan dari akhbar Utusan Malaysia iaitu Saudara Ku Seman Ku Hussein membentangkan bagaimana karya yang layak disiarkan.

ANGKARA LUPA


Dulunya bayi kecil

tak tahu apa

lahirnya diberi nama

membesar dengan agama

sudah kenal rupa

bila dah rasa garam dan gula

mulai lupa diri

kejar kuasa.


Kata bapak tak endah

suruh ibu durhaka

mana perginya budi

daya membebat degil

budaya dikubur

pekerti tanpa erti.


Dari orang kecil

hingga jadi manusia besar

dipimpin tanganmu

jadi insan mulia

kenal harta tanpa harta

kenal dunia yang dipijak

dan kenal akhirat tuntutan kita

namun kau pilih gelaran manusia besar

punyai kuasa, darjat dan pangkat.


Asalmu tidak berkuasa

asalmu tidak berdarjat

asalmu tidak berharta

dari setitits air mani

dan seketul darah merah

serta kuasa-Nya

lahirmu dinanti-nanti

namun kau lupa diri.



21 Jun 2000

Istana Budaya

Selasa, Ogos 04, 2009


ILHAMKU
(Buat JMKK)


Dari mata

kuterbau lukamu

dari tawa

kuterkunyah deritamu.


Tiada Izin darimu

aku menulis

melukis sketsa

yang kau anyam

dalam senyum buatku.


Terima kasih

kerana jabat salammu

walau tiada bicara antara kita

kau sumber ilhamku.


Tarikh disiarkan Majalah Wadah Edisi 97 (DBP) Keluaran 1998 (Ruangan Puisi)

Isnin, Ogos 03, 2009

Salam Pena

Assalamualaikum wbt
Salam pena pada sekelian pembaca. Di lewat hujung jari yang mengetuk huruf ke huruf di dada komputer riba ini, sapaan pertama bagiku lewat internet bukanlah sekadar untuk mencurah yang terbuku di kobar jantungku, tetapi melepas segala resah yang membungkam dan membengkak di dadaku. Semoga kesakitan ini akan pergi, dan tidak datang kembali bersuaku. Harapanku juga anda bakal menjadi sahabat yang mengubati segala sakit yang kuderitai dan kutemui kesembuhan di ruang pena yang tak seindah buana ciptaan Tuhan ini.
PERJUANGAN
Kuatur langkah
di sayap bumi
berteduh di bumbung-Nya
Tarikh Disiarkan 8 Julai 1996 (Ruangan Puisi Utusan Borneo)