Khamis, September 10, 2009

INGATAN BUAT AKU DAN SEMUA

20 minit lagi, kapal terbang ini akan melabuhkan tubuh gagahnya di daerah kecintaanku. Namun di balik corong suara yang berkumandang, mendendangkan amaran supaya menggunakan tali pinggang keselamatan kerana keadaan kapal melalui saat genting berhadapan dengan cuaca buruk. Aku dan 2 anak saudaraku, juga tetamu-tetamu yang berada dalam perut pesawat masing-masing kebimbangan. Di luar tingkap aku terlihat kilat pada dinding langit. " Ada petirlah" Bisikku ketika itu. Aku menadahkan tangan memanjat doa ketika ku rasa pesawat naik turun seolah terumbang-ambing melawan jejak. Kedengaran ada sura keluhan dari tetamu-tetamu pesawat dan teriakkan kecil memuntah rasa ketakutan. Pun aku, sama seperti mereka. Mulutku terus berkumat-kamit.
Ketika sayap besi menerawang dan membelah awan gemawan, resah tidak pernah diam, dada berombak menganyamkan lunak-lunak suara di balik getaran yang tiada henti mengalun doa dari hati yang tidak pernah lupa kepadaNya. Bukan takut mati, ada harapan di relung hati minta Tuhan menemukan jasad yang sudah lama beku rindukan belaian dari orang-orang tersayang. Alhamdulillah, doaku selalu Tuhan makbulkan. Dalam susah dan senang, Dia selalu melindungi dan membantu aku hambaNya dalam menangani setiap dugaan dan masalah yang dihadapi.
Terima kasih Tuhan, Kaulah cahaya di setiap perjalanan hidupku. Walau ada jalan gelap yang pernah aku lalui, Kau tetap pancarkan NurMu bagi menerangkan jalan-jalan hidupku. Kau tidak pernah lupa hamba-hambaMu, hanya aku kadangkala terlalai seketika dalam urusan hidup dan duniawi. Ampunkan kami Ya Tuhan. Suluhilah jalan hidup hamba-hambaMU, agar kami tidak tersesat di dunia fana penuh kepura-puraan dan jadikanlah kami hambaMu yang taat pada setiap suruhan dan jadikanlah kami pengikut kekasihMu yang patuh pada wajib dan sunnah Nabi Mohammad SAW.