Isnin, Ogos 31, 2009

WARIS MERDEKA

Laman ini taman suci
sejarahnya tiada bandingan
warnanya tiada tandingan
wanginya semerbak bunga cempaka
harum menyusur kubur
membangkit seribu rasa
memukau rentetan silam
belum lupus di mamah onah
tidak gersang di musim kemarau
mekar unggul di lipatan sejarah
aku tekal melukis harapan.

Seluas lazuardi tempat bernaung
hamparan kiswah tempat bersimpuh
di sini kukulum makna merdeka
agar tanah tidak menjadi gadaian
dari akal yang sering dijajah
dari hati yang sering luntur
dari jiwa yang sering kabur
bagunlah hai anak merdeka
dari mimpi basah ketakutan
dari celik warak kesengsaraan
pandulah dirimu di pintu negara
simpanlah memoir di cermin kenang
himpunkan sejuta doa
panjatkan restu selautan ikhlas
kita anak merdeka
pewaris nusa.

Atur langkah mara perjuangan
gemakan suara bak lambaian bayu
sepoinya berbahasa indahnya bermadah
membawa khabar pada warganya
sebukit janji segunung impian
kita hembur sumpah keramat
agar kita menjadi bara
panas membakar durjana
tidak ampuh dek kelembutan
tidak rakus menerima kekalutan
tidak lupa mengail kehidupan
dari masa lampau yang kusam
mengali masa kini yang tenang
kita tekal waris merdeka.


31 Ogos 2009 / 1.45am

Tiada ulasan: