Selasa, November 10, 2009

IRAMA

Kudengari irama itu
membelai setiap jiwa yang gelisah
mencuit setiap rasa yang hiba
kudengari irama hutan
sayup-sayup menyapa hati
membisikkan ramuan-ramuan kenangan
yang hampir mati pada fikir
yang hampir berkubur tanpa nisan
dan irama itu cuma di alam maya
yang datang bagai mimpi.

DIA

Kalam tiada mati
sinarNya menujah di gerbang dunia
bukan nasib penentunya malang
ada qada telah tersurat
dan qadarnya tetap hakikat.

NikmatNya tiada terselam
andai kau kecewa dalam keimanan
bagunlah dan kuburkan kecewa
pada kenangan yang akan melunaskan setiap impian
cuma satu tempat bermohon
Dialah mati dan hidup kita
Dia.

Khamis, September 10, 2009

INGATAN BUAT AKU DAN SEMUA

20 minit lagi, kapal terbang ini akan melabuhkan tubuh gagahnya di daerah kecintaanku. Namun di balik corong suara yang berkumandang, mendendangkan amaran supaya menggunakan tali pinggang keselamatan kerana keadaan kapal melalui saat genting berhadapan dengan cuaca buruk. Aku dan 2 anak saudaraku, juga tetamu-tetamu yang berada dalam perut pesawat masing-masing kebimbangan. Di luar tingkap aku terlihat kilat pada dinding langit. " Ada petirlah" Bisikku ketika itu. Aku menadahkan tangan memanjat doa ketika ku rasa pesawat naik turun seolah terumbang-ambing melawan jejak. Kedengaran ada sura keluhan dari tetamu-tetamu pesawat dan teriakkan kecil memuntah rasa ketakutan. Pun aku, sama seperti mereka. Mulutku terus berkumat-kamit.
Ketika sayap besi menerawang dan membelah awan gemawan, resah tidak pernah diam, dada berombak menganyamkan lunak-lunak suara di balik getaran yang tiada henti mengalun doa dari hati yang tidak pernah lupa kepadaNya. Bukan takut mati, ada harapan di relung hati minta Tuhan menemukan jasad yang sudah lama beku rindukan belaian dari orang-orang tersayang. Alhamdulillah, doaku selalu Tuhan makbulkan. Dalam susah dan senang, Dia selalu melindungi dan membantu aku hambaNya dalam menangani setiap dugaan dan masalah yang dihadapi.
Terima kasih Tuhan, Kaulah cahaya di setiap perjalanan hidupku. Walau ada jalan gelap yang pernah aku lalui, Kau tetap pancarkan NurMu bagi menerangkan jalan-jalan hidupku. Kau tidak pernah lupa hamba-hambaMu, hanya aku kadangkala terlalai seketika dalam urusan hidup dan duniawi. Ampunkan kami Ya Tuhan. Suluhilah jalan hidup hamba-hambaMU, agar kami tidak tersesat di dunia fana penuh kepura-puraan dan jadikanlah kami hambaMu yang taat pada setiap suruhan dan jadikanlah kami pengikut kekasihMu yang patuh pada wajib dan sunnah Nabi Mohammad SAW.

Isnin, Ogos 31, 2009

WARIS MERDEKA

Laman ini taman suci
sejarahnya tiada bandingan
warnanya tiada tandingan
wanginya semerbak bunga cempaka
harum menyusur kubur
membangkit seribu rasa
memukau rentetan silam
belum lupus di mamah onah
tidak gersang di musim kemarau
mekar unggul di lipatan sejarah
aku tekal melukis harapan.

Seluas lazuardi tempat bernaung
hamparan kiswah tempat bersimpuh
di sini kukulum makna merdeka
agar tanah tidak menjadi gadaian
dari akal yang sering dijajah
dari hati yang sering luntur
dari jiwa yang sering kabur
bagunlah hai anak merdeka
dari mimpi basah ketakutan
dari celik warak kesengsaraan
pandulah dirimu di pintu negara
simpanlah memoir di cermin kenang
himpunkan sejuta doa
panjatkan restu selautan ikhlas
kita anak merdeka
pewaris nusa.

Atur langkah mara perjuangan
gemakan suara bak lambaian bayu
sepoinya berbahasa indahnya bermadah
membawa khabar pada warganya
sebukit janji segunung impian
kita hembur sumpah keramat
agar kita menjadi bara
panas membakar durjana
tidak ampuh dek kelembutan
tidak rakus menerima kekalutan
tidak lupa mengail kehidupan
dari masa lampau yang kusam
mengali masa kini yang tenang
kita tekal waris merdeka.


31 Ogos 2009 / 1.45am

Ahad, Ogos 30, 2009

HARGAILAH YANG MASIH ADA

Kalau kita punya mata untuk melihat
lihatlah keindahan alam ciptaan Tuhan
nikmatinya hargainya
kalau kita punya tangan
tulislah sesuatu untuk dikenang
agar bercambah menjadi warisan
kalau kita punya lidah dan hati
membacalah dan sematkan di dada
untuk menambah ilmu
kalau kita tidak punya apa-apa
pergilah untuk mencari
agar kita mampu miliki
apa yang kita tiada
dan ingatlah
hangai yang masih ada.

30 Ogos 2009 / 6.20am

Sabtu, Ogos 29, 2009

HANYA DIA YANG SATU

Kala malam tanpa bintang
akulah itu
kalau siang tanpa mentari
akulah itu
kala aku tanpa dia
akulah itu
kala aku, kita tanpaNya
siapalah kita
moga kita tahu
siapa kita adaNya
dan siapa kita tanpaNya
hanya Dia Yang Satu.

29/08/2009 / 6.15am

TANPA NAMA

Siapalah dia insan kerdil, miskin dan naif. Selalu jadi ejekan kawan-kawan. Tidak kira masa dan waktu. Berpendidikan setakat SRP sahaja, itupun dapat pangkat (S) 'superman'. Tidak kisah pulak baginya tanpa pelajaran hidupnya akan terus begitu. Di mindanya, dipahat puluhan angan-angan. Cita-citanya nak jadi polis, hanya mimpi dalam mimpi. Kononnya, mahu cipta nama...... tayangan gambar yang direka dari celahan kotak fikirnya terus hidup. Tidak ada siapa yang akan tahu dan nampak, "hanya Tuhan yang tahu!" Bisik kecil hatinya. Senyumannya sering mengiringi disetiap perilakunya yang aneh, adakala "Oi....gendut mata sipet, berangan saja!" Itulah suara-suara sumbang yang akan membakar jiwa gundahnya.
"Aku tidak akan mati dengan suara-suara itu." Dengusnya tanpa memperdulikan suara-suara itu, dia terus melayan perasaan.
Dari penjual bahai di pasar ikan, menjaja kuih-muihpun tugas yang tidak pernah henti-henti dilakukan olehnya. Menolong keluarganya adalah tanggunjawab yang telah dipikulnya sejak berusia 6 tahun lagi. Namun zaman terus berlalu. Tinggallah kenangan demi kenangan. Walaupun dia terus jalan ke depan, sesekali menoleh ke belakang, membangkitkan rasa insaf sebagai insan yang menumpang di bumi Tuhan.
Tidak pernah lekang dia melakukan semua pekerjaan. Kerja keras, berhati-hati dan jujur itu adalah motto yang di tanam dalam sanubarinya. Dia juga tidak pernah lupa melakukan suruhan Tuhan. Mengaji, solat 5 waktu adalah tunggak keimanan untuk menikmati hidup yang sementara ini. Cintanya tidak akan padam untuk memperjuang agama, bangsa dan negara.
"Apalah yang Eman tu boleh buat, setakat tingkatan 3 je, kerja dekat kedai pakaianpun orang tidak hendak Mak!" Dengus Ella, kakak Eman yang sering membulinya. Apa saja yang diarah, Eman akan lakukan. Salah sikit akan riuh sekampung. Eman tetap tenang. Dipendamnya segala yang berlaku. Tangis, sakit dan pedih ditelan begitu saja.
"Oh Tuhan, hanya kau yang Maha Mendengar, kabulkan doaku. Jadikan aku, insan yang berguna kepada ummatMu. Kuatkanlah aku hadapi semua tohmahan ini. Beranikan diriku tampil untuk menunjukkan siapa aku. Bukan nama yang aku cari, tapi ilmu yang ingin aku turunkan. Tidak berdaya lagi aku memikul beban ini, tanpa menitik setiap pengalaman buat yang memerlukan. Sebodoh manapun aku padang pandangan orang, Kau tetap muliakan apa yang Kau ciptakan walau hodoh dan hanyir. Aku redha dengan setiap pemberianMu, kerana aku tidak mahu jadi ummatMu yang jahil tanpa cintaMu." Doa yang dikalong selepas solat subuh.
Pagi ini dia ada tugas baru, tanggungjawab besar dan penampilan yang luar biasa. Dia mengenakan kemeja biru awan, slek dan kot berwarna hitam. Di sisi atas dadanya diselit teg nama EMAN MAWAN. Segaknya terserlah sebagai lelaki. Sedikit wangian dicalitkan ke baju kot dan kedua pergelangan tangannya. Dia senyum sambil merenung dirinya di balik cermin kecil yang menjadi teman dan permainan di sisinya hingga kini, diakan akan membawanya ke mana saja. Cermin itu diselitkan dalam kocek seluarnya. Debaran di dada mulai berombak. Dia menarik nafas dalam-dalam dan membina keyakinannya kembali.
"Harap-harap, hari ini semuanya berjalan dengan lancar. Tolong aku sempurnakan misi ini Ya Allah SWT."
29/08/2009 (12:03pm)

Isnin, Ogos 24, 2009

RAMADHAN YANG DINANTI

Bulan Ramadhan yang kunanti kehadirannya dan ditunggu-tunggu seluruh ummat muslimin. Bulan yang banyak memberi nikmat dan hikmah. Bulan kelahiranku dalam kalendar islam. Rinduku mebuak, tatkala kehadiran ramadhan kali ini, membuatkan aku menyimpul kegembiraan, kerana aku masih bernafas dan berpeluang mengerjakan suruhanNya. Alhamdulillah!
Ya Allah, kupanjat syukur padaMu, kerana membenarkan aku sekali lagi bernyawa di bulan muliaMu ini. Kau beri nafas baru, bagi aku menjalani hidupku. Moga puasa kali ini mampu aku tunaikan, tidak seperti 2 tahun yang lalu yang membuatkan aku kesal kerana meninggalkan kewajipan yang tidak aku sengajakan. Kuatkanlah aku ya Allah, dalam melalui setiap liku-liku ujianMu di bulan suci ini.
Beri aku kesempatan bertamu di Aidil Fitri. Moga Aidil Fiitri bukan yang terakhir pada orang yang tersayang dan aku redha andai Aidil Fitri yang menjelang adalah Aidil Fitri terakhir padaku. Ku mohon ya Allah, aku ingin menatap wajah-wajah yang amat kurindui. Semoga dihari lahirku, kuhadiahkan satu kepulangan yang terindah buat Mak yang amat aku rindui. Andai aku pergi menghadapMu, biarlah dalam tenang di pangkuan Mak. Kerana Mak orang yang kuat hadapi dugaanMu. Mak tidak akan menangisi pemergianku. Seingatku Mak cuma bermuram durja ketika Allah SWT menjemput aruah ayahku. Aku redha!
01.47am
3 Ramadhan

Isnin, Ogos 17, 2009

KAMAR SEPI YANG INDAH

Rona-rona konkrit itu
membatasi pandanganku
dari dalam kamar sepi yang indah
keluar laman api yang bingit
aku menjenguk
dari celahan pagar besi
menonton episod kehidupan
ibarat bungkam dalam sekam
yang tidak bertepi.

Kamar sepi yang indah
menemani aku
mencuci nanah berliku
membalut luka terhiris
dan mengupas kering
kudis yang bertamu di hati
sekian lama kembara
kekal tidak bersempadan.

Lebih sedekad
aku penghuni yang setia
kekal bersamanya
dalam kamar sepi yang indah.


17 Ogos 2009
2.00ptg
SYUKURKU PADAMU

Kupanjat syukur padaMu
dari ruang tidur nan empuk
dari tidurku yang nyenyak
kau telah membungakan cinta
permintaan kalam hati
membangkitkan aku
dari mati yang seketika.

Terima kasih Tuhan
keran izinmu ku celik mata
melihat indah jadianMu
Kurnian seluas langit lazuardi
semegah bumi ciptaanMu
berpijak jua meniti perjalanan
dalam perjuangan yang belum berakhir.

Andai masa memisahkan
aku dari kelam bisu
kupanjat syukur jua
kerana Kaulah pengail duka
pembalut resah
penyembuh luka.

Secantik itu
seindah itu
seagung namaMu
meniti di bibir-bibir
yang tidak lekang
memuji kebesaranMu.

Syukur ini
tidak berhenti bertasbih
syukur ini
tidak akan mati
walau ditikam maut.


17 Ogos 2009
Doa itu tidak pernah lekang dari mulut seorang aku yang merasakan teramat kerdil menumpang di bumi ciptaanNya. Atas dasar apa untuk aku lupa kepada-Nya. Tidak! Dia segala-galanya bagiku. Dialah ujud memujukku agar tenang ketika dalam gundah gulana. Dialah cinta yang menerangi ketika aku menemukan cinta yang pernah membutakan aku dalam celik. Dialah pelindung di saat gempa dunia menggegar isinya meruntuh konkrit tinggi di laman bumi. Dialah yang Maha mendengar segala rintihan yang berirama tragis. Dialah mengkabul doa orang-orang yang sering menyebut kebesaranNya. Dialah yang Maha Agung, Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Di tirai gelap malam, deruan injin-injin sesekali membingit desir telinga. Mata ini terus menujah lewat PC yang terkankang di sisi katil yang menjadi teman tidurku. PC menjadi teman untuk aku menitis calitan di dadanya. Putihnya kulakari dengan rintihan demi rintihan yang terpendam. Memang ada gusar di jiwa. Takut-takut, aku terus menutup mata tanpa bangun menikmatan alam ini lagi. Kalau-kalau, sebentar lagi atau ketika nyenyakku, Dia menjemputku. Ya Allah dengan izinmu, panjangkan umurku, agar aku bisa menunaikan permintaan terakhir aruah ayahku. Hanya Kau yang Maha Mengetahui segala yang tersirat dan tersurat dalam hatiku. Hanya Kau Ya Allah yang bisa memakbul impian terakhirku sebelum mataku terus tertutup rapat diulit mimpi menyelami dasar barzakh. Ku mohon pimpinanMu menuju jalanMu yang benar dan hakiki.
Bingkisan ini mungkin yang terakhir atau bingkisan terawal, yakni ada pengakhirannya. Mudah-mudahan diperkenankan segala doaku dan dipermudahkan untuk aku menunaikan permintaan terakhir orang yang tersayang, pun dengan izin Allah SWT. Andai esok masih ada, biarlah hari-hari terakhirku bersama ibu dan keluarga yang jauh di seberang laut cina selatan. Panjangkan usiaku, agar aku bisa menikmati saat-saat terakhir bersama yang tercinta. Ruang masa ibarat emas ini, adalah kilauan bintang yang bergemerlapan membibit di bibir-bibir pencintanya. Selamat tidur mataku.....

Ahad, Ogos 16, 2009

Apakah indah hidup ini tanpa masalah yang menghiasi dinding-dinding kehidupan? Apakah nyama hidup ini tanpa perjuang yang akan berkubur di setiap kobar-kobar jantung? Apakah kedamaian yang diidamkan akan datang dengan redha dan pergi tanpa izin? Fikirku melayang menerawang setiap sudut penjuru hati-hati insan yang mengejar duniawi, tatkala mengimbas nostalgia dua dekad yang sering bergelora di kotak akal, mengingatkan akan dosa dan pahala yang bakal menemani ketika meninggalkan dunia fana kelak. Akan tetapi mati tidak pernah lupa pada janji dan hanya kita yang sering lalai dengan kematian. Meremang seluruh bulu roma bila setiap ingatan kembali membuka kotak akal. Apakah yang kubawa bila berada di alam barzakh? Pertanyaan-pertanyaan yang sering membelenggu di balik getaran dada. Ah! Luahku melepaskan kesakitan yang selama ini aku deritai. Setiap malam menjelang, airmataku teman bagi melepaskan keresahan untuk menemukan penyebuhan bagiku membina hidup baru tapa gundah gulana. Di ruang rentetan yang bisu ini, kukalongkan untaian-untaian kata yang bisa membuatkan aku tenang dan damai menikmati buana ciptaan Tuhan yang menakjubkan tanpa sedetik noda yang mengotorkan dan aku menerima seredhanya ujian Tuhan. Demi Allah SWT aku Redha.
16 Ogos 2009
4.00ptg

Ahad, Ogos 09, 2009



ILLUSI PERPISAHAN

Teman,
tika renyai-renyai hujan
membasahi bumi gersang
kekontangan di setiap sudut
aku yang masih leka
dengan seraut wajah kosong
mersik seteguk harapan
lontaran suara merdu
kehanyiran kemesraan semalam
berlabuh di sebuah tembok
keracunan kerinduan
menangisi perpisahan itu.

Teman,
aku timbul dibawa arus resah
tenggelam dipukul gelombang sepi
yang hanya mampu melayarinya
bersumbangsih akan kemanusiaan
yang dahagakan sebuah pengakraban.

Teman,
walau hanya pertemuan kita semusim
masih ada lagi garis-garis
pertemuan itu berubah
membanjiri hak perpisahan
bibir itu memecah kucupan
kerana perpisahan itu
milik kita jua!



Tarikh Karya : 23 Julai 1989

Tarikh Disiarkan : November 1990
Ruangan Puisi (Majalah Remaja)


IMPIAN


Andainya waktu terpaksa
Dan memaksaku berlalu
Pergi meninggalkan rentetan
Kenangan yang sering bertandang
Meninggalkan seribu duka
Yang sering menghantui
Lalu,
Meninggalkan harapan
Bak permata yang berkilau
Namun tak tergenggam
Mampukah aku
Dan sanggupkah aku
Merelakan serpihan hidup ini
Terus pudar dan hilang
Tanpa mencapainya
Walau hanya sekelumit
Yang tersisa sekecil kuman.

Andainya waktu terpaksa
Dan memaksaku mengundurkan diri
Dari tujuan hidup dan cita-cita
Dan membiarkan masa berlalu
Tanpa mengisi kekosongan yang ada
Dapatkah aku terus begini
Andainya masa yang sesingkat
Pun masih tak tersangka
Berdayakah aku lagi
Berjalan dengan kudrat
Tanpa hasrat dan niat
Untuk digapai.

Tuhanku,
Berdayakah aku
Andainya hidupku kecundang lagi
Berdayakah aku
Kiranya hujan tidak berhenti
Dan aku menggigil kebasahan
Dalam mencari diri
Yang tak pernah kering
dengan setiap impian.

Tuhanku,
Izinkanlah diriku
Menelan warna-warna kejayaan
Yang kukira jauhnya tak terhitung
Dan benarkanlah aku kecapi
Bahagia yang kunanti
Yang berdekad lamanya kutunggu
Dan aku sudah tak berdaya lagi
Dengan setiap penantian
Yang tidak pernah berakhir.

Impianku
Satu nikmat indah
Untukku mengenal diri
Dan jalan hidupku
Menuju jalan-Mu abadi.



Taman Pandan Jaya.
05Hb. September, 2006
CERPEN


TETAMU AIDIL FITRI
Oleh Melati Biru

Gema Takbir di malam hari berkumandang disetiap rumah-rumah Allah. Bahkan di TV, Radio dan di mana jua ia turut didengari. Keriuhan anak-anak kecil bermain bunga api jelas kelihatan. Tergambar kegembiraan yang menyerlah di wajah-wajah mereka. Tangisan sicomel yang belum mengerti apa-apa juga mengiringi syahdunya malam itu. Ibu-ibu sibuk di dapur memasak rendang atau makanan tradisi yang tidak pernah dilupakan setiapkali menjelang hari Raya. Begitu juga dengan kaum lelaki, mengaul wajid dan ada yang sedang leka bermain mariam buloh. Aisyah yang sedari tadi duduk di anjung rumah tersenyum tersengih menonton gelagat-gelagat yang mencuit hatinya. Entah kenapa tiba-tiba wajahnya berubah gelisah.

“Aisyah, selama ini mak bagi kau kebebasan. Segala kehendak Aisyah mak tunaikan. Tapi kenapa kau buat mak dan bapa mendapat aib dengan kelakuan keji kau hah!” Luah emaknya kesal. Tangisannya juga turut berirama sentimental.

“Bapa beri kau pelajaran, pendidikan agama! Dan bapa tidak mengharapkan balasan satu senpun dari kau Aisyah. Cuma mengharap yang anak-anak bapa berjaya dalam hidup. Tapi semuanya hampa. Kau tambahkan beban pada keluarga! Bapa malu,… malu Aisyah!” Sambil merenung tajam tepat ke wajah Aisyah.

“Aisyah ucapkan terima kasih pada mak dan bapa kerana melahirkan dan membesarkan Aisyah. Aisyah hormat pada mak, Aisyah hormat pada bapa juga adik-beradik Aisyah. Tapi Aisyah benci pada pendirian bapa. Sikap bapa yang tak ambil kisah dengan masalah keluarga ini. Bapa sibuk dengan urusan politik, hingga bapa lupa di mana persinggahan bapa.”

“Oh,… sudah pandai melawan! Sudah pandai kurang ajar pada orang tua!” Tamparan bapanya turut berlabuh di pipi mulus Aisyah. Aisyah terus menangis. Air matanya mengalir bagai hujan deras yang tidak mahu berhenti.

“Aisyah,…Aisyah!” Laung Mak Sofi mendatang ke arah Aisyah.

“Ya mak cik!” sambil mengesat air matanya.

“Eh kenapa ni?” Soal Mak Sofi kehairanan.

“Tak adalah mak cik. Aisyah syok tengok budak-budak tu bermain bunga api.” Selindung Aisyah.

“Aisyah, Mak cik tahu yang Aisah kenangkan kampung. Mak cik tak halang
kalau Aisyah nak balik ke Sabah.” Suara Mak Sofi bergetaran. Matanya mulai menakung air jernih menahan kesedihan. “Tapi kalau Aisyah balik, jangan lupa kirim surat pada mak cik.”

Hati Aisyah ditambat sayu. “Sudahlah Mak cik. Aisyah sayangkan mak cik. Di sini Aisyah aman, damai, tenang dan tenteram. Siapalah Aisyah di rantau ini, kalau bukan mak cik yang menjaga Aisyah, menyayangi Aisyah,” jelas Aisyah.

“Mak cik dah tak ada sesiapa di dunia ini, selain diri Aisyah. Mak cik betul-betul sayangkan Aisyah dan mak cik dah anggap Aisyah, macam anak mak cik sendiri.”

“Mak cik lihat di sana tu,” sambil menundingkan ibu jari tangan kanannya ke arah pelita minyak tanah menerngi jalan-jalan yang menuju ke setiap rumah.

“Mak cik seperti pelita tu. Membakar diri demi kebahagiaan orang lain. Mak cik terangkan hati Aisyah yang pernah diselubungi kegelapan dan mak cik sanggup menerima Aisyah bekas seorang banduan. Mak cik saja yang tak pernah memandang hina pada Aisyah. Aisyah bertuah dapat bertemu mak cik.” Aisyah terus memeluk tubuh Mak Sofi. Dibenamkan wajahnya ke dada wanita yang berumur dalam lingkungan empat puluhan itu. Tangisannya dan Mak Sofi mengiringi kehangatan malam yang hening.

Kala malamterus berinsut pergi. Gema Takbir dari surau yang tidak jauh dari rumah Mak Sofi terus berkumandang. Iramanya terus menyusuk pilu. Hati siapa yang tidak dibendung luluh mendengar gema Takbir, seakan wajah-wajah kampung terus terbayang di ruang mata. Ketika Aisyah menyiapkan diri, selepas menunaikan solat Subuh, Aisyah terkenangkan ibubapa dan adik-beradiknya di kampung.

“Mak, bapa maafkan Aisyah. Maafkan kesalahan Aisyah!” Tiba-tiba Mak Sofi memaut bahunya. Aisyah tersentak.

“Aisyah, kalau Aisyah dah siap nanti…, bolehlah kita ke surau bersama-sama menunnaikan sembahyang sunat Hari Raya Aidil Fitri, Mak cik tunggu di bawah.” Aisyah mengangguk lemah. Mak Sofi terus berlalu.

“Aisyah, mak cik mengerti apa yang Aisyah rasakan ketika ini. Sama seperti apa yang pernah mak cik lalui.” Luah hati kecil Mak Sofi.

Masa lalu Mak sofi terlalu pahit untuk dikenang. Mak sofi pernah kehilangan Anuar, Amira dan Anida yang dibawa pergi oleh bekas suaminya Jamaludin. Entah ke mana agaknya, Mak sofi sendiri tidak tahu. Hanya mampu Mak Sofi lakukan ialah bertawakal pada Tuhan. Semoga Tuhan menemukan dirinya dengan ketiga-tiga anaknya. Tohmahan isteri curang sudah lenyap ditelan masa yang pergi dan silih berganti. Segalanya fitnah dan segalanya juga suratan Ilahi. Mak Sofi tidak dapat menolak kehendak-Nya. Akhirnya Mak Sofi serahkan pada yang Esa.

Gurau senda, gelak ketawa dan ejekan adik bongsu Aisyah membongkar rindunya yang membuak.

“Kakak Syah…balik cepat-cepat ya. Ita tungg! Kalau kakak Syah balik, jangan lupa belikan Ita patung doreamon. Ya kakak Syah!” Pinta Norita yang petah berbicara dalam usia 3 ½ tahun dan belum mengerti apa-apa.

Aisyah hanya mampu tersenyum haru dan mengangguk-anggukkan kepala. Kedua belah tangannya sudahpun disarungkan gari oleh salah seorang anggota polis wanita. Bapanya membuangkan muka, sedang emaknya tersedu-sedu.

“Inilah akibatnya. Aku telah membunuh anak yang tidak berdosa dari kandunganku.” Penyesalan yang melimpah-limpah membebat di hati Aisyah.

Tiga tahun bukan masa yang singkat Aisyah menjalani hidup di dalam sebuah penjara. Pahit, manis…, terlalu perit untuk dimamah. Diseksa, terseksa itulah satu pengajaran yang dilaluinya. Masa lalu terselit kenangan. Masa lalu membuahkan pengalaman. Dan masa lalu itulah juga pengajaran untuk Aisyah.

Tapi itu bukan dosa yang disengajakan oleh Aisyah. Dosa itu ialah dosa seorang lelaki yang tidak bertanggungjawab, yang telah menodai Aisyah tanpa rela. Namun silapnya Aisyah, membuang bayi yang dilahirkannya tanpa berfikir panjang. Sehingga kes buang bayi tersiar di kata t.v. Lama dirinya dibelenggu dengan berita-berita menyiarkan kes buang bayi.

“Patutkah aku menyerahkan diri dengan pihak berkuasa?” Tanya Aisyah di dalam hati. Akhirnya Aisyah mengambil keputusan menulis surat dengan menyatakan bidata dirinya serta alamat penuhnya kepada Ibu Pejabat Polis Johor Bahru. Keputusan itu adalah keputusan muktamat. Aisyah tidak kesal dengan tindakannya itu.

Mak Sofi orang yang banyak menabur budi dan memberi kepada Aisyah sesuatu yang baru dalam hidupnya. Pertemuan dengan Mak Sofi juga adalah pertemuan yang tanpa dirancang olehnya. Waktu itu Aisyah penat berjalan. Sempat dia tertidur kerana keletihan. Mak Sofi-lah orang yang bertanggungjawab menegur tingkah Aisyah dan berani menasihati Aisyah tika itu.

“Anak…, anak!” Mak Sofi menggoyangkan bahu Aisyah. Aisyah tersedar dan menggosok-gosokkan mata.

“YaMak cik, ada apa?” Soal Aisyah ingin tahu.

“Kenapa anak tidur di sini? Bawa beg ni nak ke mana? Eh!…Tak baik anak gadis buat macam ni.” Tingkah Mak Sofi hairan. “Lari ke budak ni?” Fkir Mak Sofi.

“Mak cik, bas yang hendak ke Kuala Lumpur…, biasanya bertolak jam berapa?” Soal Aisyah tanpa menjawab soalan dari Mak Sofi.

“Kalau anak nak ke Kuala Lumpur, malam-malam macam ni…bas tak ada. Emmm dari mana hendak ke mana?” Sambil duduk di tepi Aisyah.

Suasana perhentian bas amat lengang. Namun masih ada segelintir manusia berduyun-duyun mengatur langkah. “Hah!” Keluh Mak Sofi.

Aisyah terus membisu. Lidahnya keluh menjawab petanyaan demi pertanyaan yang diajukan kepadanya.

“Anak ni ada masalah ke?” ditenungnya dari atas hingga ke kaki. Tumpuan matanya ke arah sepasanag selipar Jepun yang sudah hampir luti, berwarna biru tua.

Perasaan kasihan tiba-tiba tumbuh di hatinya. Mak Sofi tersenyum. “Esok saja cari bas ke KL tu. Hah…kalau nak tumpang rumah mak cik semalam, jum…lah!” Ajak Mak Sofi iklas.

Beberapa detik Aisyah memikirkan pelawaan Mak Sofi. “Bagus juga!” Detik hatinya. “Baiklah Mak cik, saya tumpang semalam rumah Mak cik. Tapi, saya hairan dengan kebaikan yang Mak cik hulurkan, sedangkan…Mak cik tidak mengenali saya.”

“Mak cik tahu anak ni baik!” Puji Mak sofi pada Aisyah.

“Mana Mak cik tahu yang saya ni baik?” Soal Aisyah semula.

“Bukankah Tuhan telah mencipta manusia sebaik-baik serta semulia-mulia di sisi-Nya! Untuk apa kita curiga-mencurigai.”

“Tapi Mak cik saya orang jahat, bekas banduan!” Luah Aisyah merendah diri.

“Kenapa harus merendah diri. Kan lebih baik tawaduk pada Tuhan. Itu lagi afdal.” Hujah Mak Sofi menyakinkan lagi hati Aisyah yang diburu kegelisahan.

Kasih sayang, budi yang ditabur dan pengorbanan dari Mak Sofi, tidak akan pupus di ingatannya. Malah sentiasa subur dan mekar di hatinya.

“Tuhan, aku tak layak masuk syurga-Mu. Namun tidak berupaya mengahadapi api neraka-Mu. Terimalah taubatku dan ampunkanlah dosa-dosaku, sesungguhnya Engkau maha pengampun, dosa hamba-Mu.” Doa Aisyah pasrah.

Diaturnya langkah dengan gemilang. Senyumannya juga turut terlukis. Wajah ceria di pagi yang mulia itu mampu menyerlah. Sesampainya saja ke sisi Mak sofi, Aisyah menyambar tangan Mak Sofi lalu mengucupnya.

“Mak cik, halalkan makan minum Aisyah dan tinggal di sini. Mak cik lah tempat Aisyah mengadu dan meluahkan segal perasaan yang terbuku. Mak cik mengajar Aisyah erti tabah dan sabar menempuhi dugaan hidup ini.”

“Sudahlah Syah! Mak cik faham.” Pelukan erat singgah di tubuh Aisyah. “Jum kita ke surau!” Ajak Mak sofi. Aisyah akur.

“Lama amat Aisyah merindui keadaan sebegini. Baru sekarang cahaya sadik dapat dilihat dan menyuluhi jalannya. Inilah hukum karma.

Begitu cepat masa berlalu. Sedar tidak sedar Aisyah sudah dua musim merayakan Aidil Fitri di kampung Jawa, Segamat Johor (Kediaman Mak sofi). Namun sejentik atau setitik khabar dari kampung tidak pernah menyusul. Surat yang dikirmkan, langsung tidak berbalas. Apakah sebabnya?

“Mungkinkah…!” Fikir Aisyah mengeluh.

Ketika Aisyah sedang asyik membersihkan pinggan mangkuk di ceruk dapur, Mak Sofi datang dengan senyum yang penuh makna. Aisyah selamba saja.

“Aisyah, kenapa sibuk-sibuk mencuci pinggan mangkuk tu, kan masih ada yang bersih kat almari tu!”

“Tak apalah mak cik, bukan berat sangat buat kerja ni. Lagipun tak ada yang nak dikerjakan.”

“Hah…, sudahlah Syah, nanti boleh sambung kerja tu. Ni…ambil dulang minuman ni, bawa ke ruang tamu…hah, di luar ada tamu istimewa menunggu nak jumpa Aisyah.” Sambil menghulurkan sedulang minuman.

“Tamu istimewa! Eh, siapa pula Mak cik?” Sambil mengelap tangannya, lalu menyambut dulang minuman yang dihulurkan kepadanya. “Mak cik ni bergurau ke?” Soal Aisyah tersengih.

“Hah, kalau Aisyah nak tahu juga, Hantar dulang tu!” Arah Mak Sofi. Aisyah menurut.

Sengaja langkah kakinya dilambat-lambatkan. Di fikirannya bergelombang dengan pelbagai persoalan.

“Mungkin anak Mak Eton…, si Lina!” Fikirnya bercelaru.

Kini, destinasi yang di tuju sudahpun sampai. Matanya tidak tertumpu diantara tetamu-tetamu itu. Aisyah bermain dengan khayalan.

“Kak Syah!” Sekujur tubuh kecil merapatinya, lalu memeluknya.

“Aisyah kau sihat nak…?” Gema suara merdu itu, amat dikenali Aisyah. Dengan tak sedar dulang minuman yang dipegangnya terjatuh tiba-tiba. Air matanya turut mengalir, yang menyatakan…, kegembiraan yang tidak terkira.

Khamis, Ogos 06, 2009

BENGKEL KEPEZI (3) 2009 DI DEWAN KULIAH TINGKAT 4, DBP











Inilah sebahagian gambar yang sempat dirakamkan sebagai kenang-kenangan. Bukan setakat gambar yang dapat diambil dan disimpan, malah ilmu yang mampu dibawa pulang sebagai bekalan dan jati diri untuk dijadikan azimat sebagai bekalan terjun di dunia penulisan. Saudara Zaharah Nawawi dan Dr. Mawar Shafie dari UKM selaku guru dalam bengkel tersebut juga menentukan perjalan bengkel berjalan lancar. Penceramah khas yang didatangkan dari akhbar Utusan Malaysia iaitu Saudara Ku Seman Ku Hussein membentangkan bagaimana karya yang layak disiarkan.

ANGKARA LUPA


Dulunya bayi kecil

tak tahu apa

lahirnya diberi nama

membesar dengan agama

sudah kenal rupa

bila dah rasa garam dan gula

mulai lupa diri

kejar kuasa.


Kata bapak tak endah

suruh ibu durhaka

mana perginya budi

daya membebat degil

budaya dikubur

pekerti tanpa erti.


Dari orang kecil

hingga jadi manusia besar

dipimpin tanganmu

jadi insan mulia

kenal harta tanpa harta

kenal dunia yang dipijak

dan kenal akhirat tuntutan kita

namun kau pilih gelaran manusia besar

punyai kuasa, darjat dan pangkat.


Asalmu tidak berkuasa

asalmu tidak berdarjat

asalmu tidak berharta

dari setitits air mani

dan seketul darah merah

serta kuasa-Nya

lahirmu dinanti-nanti

namun kau lupa diri.



21 Jun 2000

Istana Budaya

Selasa, Ogos 04, 2009


ILHAMKU
(Buat JMKK)


Dari mata

kuterbau lukamu

dari tawa

kuterkunyah deritamu.


Tiada Izin darimu

aku menulis

melukis sketsa

yang kau anyam

dalam senyum buatku.


Terima kasih

kerana jabat salammu

walau tiada bicara antara kita

kau sumber ilhamku.


Tarikh disiarkan Majalah Wadah Edisi 97 (DBP) Keluaran 1998 (Ruangan Puisi)

Isnin, Ogos 03, 2009

Salam Pena

Assalamualaikum wbt
Salam pena pada sekelian pembaca. Di lewat hujung jari yang mengetuk huruf ke huruf di dada komputer riba ini, sapaan pertama bagiku lewat internet bukanlah sekadar untuk mencurah yang terbuku di kobar jantungku, tetapi melepas segala resah yang membungkam dan membengkak di dadaku. Semoga kesakitan ini akan pergi, dan tidak datang kembali bersuaku. Harapanku juga anda bakal menjadi sahabat yang mengubati segala sakit yang kuderitai dan kutemui kesembuhan di ruang pena yang tak seindah buana ciptaan Tuhan ini.
PERJUANGAN
Kuatur langkah
di sayap bumi
berteduh di bumbung-Nya
Tarikh Disiarkan 8 Julai 1996 (Ruangan Puisi Utusan Borneo)